Friday, January 22, 2010

Tempat-tempat pelancongan di Malaysia


Taman Negara Pulau Pinang

Keluasannya hanyalah 2,562 hektar dan diwartakan sebagai Taman Negara pada 2003. Ia turut mempunyai 46 spesies burung seperti burung raja udang, helang dan banyak lagi. Taman negara ini yang turut dikenali sebagai ‘Bay of Glowing Amber’ menawarkan pemandangan alam semula jadi menarik pada waktu senja menjadi tumpuan penyu untuk mendarat. Pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan di taman ini, seperti: mendaki bukit, merentas hutan berenang, memancing, memerhati hidupan liar dan berkhemah.





Menara Taming Sari
Nama menara ini diambil sempena nama keris lagenda Taming Sari yang digunakan oleh Laksamana Melaka yang terkenal iaitu Laksamana Hang Tuah. Menara ini dapat berputar 360 darjah untuk para pelawat melihat panorama Bandar Melaka secara keseluruhan. Menara tinjau yang berketinggian 110 meter ini merupakan satu-satunya menara berputar yang menggunakan konsep 'gyro' di Malaysia dan dapat memuatkan 66 penumpang pada satu masa.





Taman Negara Bukit Lambir
Bukit Lambir sangat popular di kalangan ahli ekologi dan para penyelidik. Taman negara ini mempunyai keluasan 7,000 hektar dan kawsan seluas 52 hektar mengandungi 1,050 spesis pokok dan setiap pokok menampung 1,000 spesis serangga. Taman negara yang menakjubkan ini adalah taman yang senang dikunjungi di Sarawak di mana ia hanya 30 minit perjalanan dari Miri. Anda akan melihat hidupan liar sambil anda meneroka laluan-laluan trek hutan di taman negara ini. Laluan trek hutan ini merupakan yang terpanjang dan paling lasak menuju ke puncak Bukit Lambir (465 meter), namun pemandangan hebat hutan hujan di bawahnya membuatkan pendakian ini sangat berbaloi.




Taman Negara Gunung Mulu
Taman Negara Gunung Mulu mengandungi rangkaian-rangkaian gua yang terpanjang di dunia dan di sini juga terletaknya 'Sarawak Chamber' iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia yang boleh menampung empat puluh biji kapal terbang Boeing 747. Pelawat yang gemarkan alam semulajadi akan merasa kagum dan teruja melihat contoh terbaik luluhawa batu kapur tropika termasuk kawasan rabung batu kapur yang tajam serta ngarai yang dalam yang diberi gelaran 'The Pinnacles'.




Taman Tasik Perdana
Taman Tasik Perdana yang lebih dikenali sebagai 'Lake Gardens' merupakan taman yang tertua dan paling popular di Kuala Lumpur. Ianya terletak di pinggir bandar raya Kuala Lumpur dan merupakan tempat di mana warga Inggeris dahulu mendirikan rumah-rumah kediaman mereka. Landskap semulajadinya dengan tanah yang beralun dan laluan pejalan kaki yang cantik menyediakan destinasi riadah untuk warga kota. Tarikan utama taman ini ialah tasiknya yang dikelilingi pokok-pokok yang segar menghijau. Taman Burung dan Taman Rama-Rama, Taman Rusa dan Taman Orkid yang berdekatan boleh dikunjungi dengan berjalan kaki atau menaiki bas yang berulang-alik di kawasan ini.




Jalan Petaling (Petaling Street)
Jalan Petaling merupakan pusat jualan warga Cina (Chinatown) Kuala Lumpur yang banyak mengekalkan suasana tradisinya terutam di waktu malam apabila para penjaja menebarkan barang-barang jualan mereka untuk dijual di sepanjang jalan tersebut. Tarikan sebenar pasar malam ini ialah pengalaman menjamu mata dan telinga serta suasana kesibukan yang meriah di sini. Pelawat tidak akan kekurangan pilihan makanan di sini kerana terdapat pelbagai jenis sajian ditawarkan dan terdapat restoran-restoran yang telah beroperasi beberapa generasi lamanya. Oleh itu, cubalah!!




Bukit St. Paul (A'Famosa)
Pihak Portugis telah menjajah Melaka dari tahun 1511 hingga 1641. Mereka telah membina sebuah kubu berhampiran sungai yang dinamakan A'Famosa. Perkarangan kubu itu pada masa dahulu mengandungi rumah, tempat menyimpan makanan, istana dan tempat mesyuarat bagi Majlis Portugis dan wakil lima buah gereja. Tetapi serangan pihak Belanda yang berterusan selama tujuh bulan lamanya hampir memusnahkan keseluruhan kubu tersebut. Pergilah berjalan-jalan mendaki Bukit St. Paul pada lewat petang ketika cuaca lebih nyaman dan bersiar-siar di bawah pokok-pokok besar dan melihat peninggalan sejarah yang dapat dilihat hingga hari ini.




Taman Mini Malaysia & Mini ASEAN
Taman Mini Malaysia terletak beberapa kilometer di pinggir bandar Melaka berdekatan pekan Ayer Keroh. Sekiranya anda berminat dengan senibina dan cara hidup tradisional, inilah tempat yang paling sesuai untuk anda terokai.Setiap buah rumah di sini mewakilkan salah satu gaya senibina dari 13 buah negeri di Malaysia dan 12 buah rumah ASEAN yang dihiasi dengan pelbagai barangan, hasil seni dan kraftangan yang menggambarkan budaya di setiap negeri tersebut.taman ini memberi peluang kepada pelawat untuk melihat kesemua senibina dan warisan Malaysia dalam satu lawatan sahaja. Taman ini juga adalah tempat yang sesuai untuk berehat yang jauh dari kesibukan bandaraya.




Pulau Rawa
Pulau Rawa yang terletak 16 km dari pantai Mersing terkenal dengan pasirnya yang putih bersih, pepohon kelapa yang tinggi melampai dan terumbu karang yang penuh dengan ikan beraneka warna serta hidupan laut yang lain.Pulau yang aman hanya mempunyai dua pilihan tempat tinggal. Calet kayu yang terselindung di antara pepohon kelapa mengekalkan suasana semulajadi di sini dan menyerlahkan lagi jolokan pulau ini sebagai destinasi percutian yang aman dan mempesona.




Gunung Ledang
Gunung Ledang penuh dengan legenda misteri dan cerita dongeng tetapi ia terus menarik minat penduduk tempatan dan para pelancong. Gunung Ledang amat sesuai sebagai destinasi aktiviti luar dengan jejak hutan yang mencabar, air terjun yang jernih dan nyaman, serta tumbuhan dan haiwan yang eksotik termasuk pelbagai spesis unggas yang menarik.Dari kawasan puncak gunung yang terletak di ketinggian 1,276 m dari paras laut dan mempunyai permukaan yang agak mendatar, pelancong boleh menikmati pemandangan Selat Melaka hingga ke pantai Sumatera sekiranya cuaca cerah. Air Terjun Sagil yang terletak di kaki gunung ini juga merupakan tempat berkelah yang popular.




Batu Caves
Batu Caves yang terletak di dalam sebuah bukit batu kapur 15 km di utara Kuala Lumpur adalah sebuah tarikan pelancongan yang terkenal di Selangor. Destinasi terkenal ini dikunjungi pelawat dari serata dunia sewaktu sambutan perayaan tahunan penganut Hindu - Thaipusam. Salah satu pengalaman lawatan yang menarik di Batu Caves ialah pendakian 272 anak tangga menuju ke ruang gua utama. Berhampiran dengan gua utama ialah Gua Ramayana di mana dinding di dalamnya terlukis gambaran-gambaran kisah mitos epik India. Bukit batu kapur ini juga merupakan tempat popular untuk aktiviti memanjat batu.




Pulau Carey
Pulau Carey terkenal dengan dua perkara - makanan laut yang lazat dan penduduk orang asli Mah Meri (disebut Mak Miri) yang terkenal dengan hasil ukiran dan topeng kayu yang mempesona. Penduduk Mah Meri telah menerima cara hidup moden dan bekerja di estet dan ladang yang berdekatan, tetapi mereka masih mengekalkan budaya dan cara hidup mereka yang unik. Selain dari persembahan tarian dan muzik tradisional mereka, penduduk Mah Meri juga terkenal dengan hasil seni ukiran tradisional. Salah satu ukiran terkenal ialah "Nyireh Batu".




Zoo Negara
Zoo Negara dibuka secara rasminya oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman pada 14 November, 1963. Antara tarikan di zoo tersebut termasuk Akuarium Negara yang dibuka pada 1972. Pada 1984 ia diberi nama sebagai Akuarium Tunku Abdul Rahman. Selain itu terdapat rumah burung, rumah reptilia, pusat monyet, laluan Savannah serta banyak lagi.Terdapat lebih 5137 haiwan, iaitu 459 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan. Zoo Negara hanya 5 km dari Kuala Lumpur. Jangan lupa untuk bersiar-siar di sekitar zoo, atau anda boleh juga menaiki tren dan menyaksikan pelbagai aksi haiwan di sini!




Taman Negara
Taman Negara adalah Kawasan Perlindungan rasmi yang pertama dan tertua di negara ini dan pada waktu dahulu dikenali sebagai King George V National Park. Aktiviti paling popular di Taman Negara ialah bersampan di sungai dan meneroka laluan trek hutan. Laluan Kanopi yang tedapat di sini juga sungguh menarik bagi memberikan pelawat pemandangan jarak dekat aktiviti haiwan dan tumbuhan di bahagian kanopi hutan yang tinggi. Kekayaan dan kepelbagaian hidupan semulajadi di sini sangat menakjubkan dan menjadikannya salah satu eko-sistem yang paling rumit dan kaya di dunia.




Cameron Highlands
Iklim sejuk, ladang strawberi dan teh serta bangunan gaya Tudor di stesen peranginan tanah tinggi terbesar di Malaysia pasti menawan hati pelancong. Terdapat pelbagai aktiviti untuk anda nikmati di Tanah Tinggi Cameron, pusat peranginan tanah tinggi yang terbesar di Malaysia. Bersiar-siar melalui perkampungan yang menarik, melawat taman rama-rama, ladang lebah dan strawberi serta ladang teh yang terhampar luas atau nikmati makanan lazat yang dihidangkan di restoran gaya Tudor - semua aktiviti yang menyeronokkan dan menenangkan tersedia di sini untuk anda.





Genting Highlands
Salah satu tarikan utama di Genting Highlands ialah cuacanya yang sejuk dan nyaman. Oleh itu, warga Malaysia gemar datang ke sini semata-mata untuk menikmati cuaca nyaman seakan-akan di Eropah! Pelawat boleh pergi membeli-belah di First World Plaza, melawat taman tema, dan menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan di restoran-restoran yang terdapat di sini. Snow World pula merupakan sebuah rumah kabin kayu, sebuah igloo, permainan luncur ais dan kawasan permainan yang bersalji. Salah satu tarikan utama di sini ialah kasino yang merupakan satu-satunya kasino di Malaysia.




Bukit Fraser
Bukit Fraser hanya boleh dikunjungi menerusi sebatang jalan yang melalui 'The Gap' yang terletak di kaki bukit. Suasana di Bukit Fraser menyerupai suasana perkampungan di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.Pekannya agak kecil dan kebanyakan aktiviti di sini tertumpu di sebuah dataran yang mempunyai sebuah menara jam yang cantik. Anda boleh menikmati pelbagai jenis aktiviti ketika berada di Bukit Fraser. Antaranya, bermain pelbagai jenis golf di padang golf. Selain itu, anda boleh pergi memancing dan bersampan di Allans' Water, bersiar-siar di taman-taman bunga dan taman rekreasi atau mandi di air terjun Jeriau yang sungguh sejuk dan nyaman.